BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

12 December 2012

Prihatin atau Jaga Tepi Kain Orang ???

  Prihatin bermakna kita mencampuri urusan rakan bertujuan menambahkan kebaikan dalam urusan agamanya. Manakala jaga tepi kain orang pula kita sibuk mencampuri hal orang untuk menyusahkan kehidupan mereka. Perkara ini sangat berbeza antara satu sama lain.

  Bersikap prihatin atau cakna dengan sekeliling adalah WAJIB kepada semua orang Islam. Kerana itu Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 110 "Kamu adalah sebaik umat yang dilahirkan kepada manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah SWT"

  Nabi SAW bersabda "Sesiapa yang tidak mengambil peduli urusan kaum muslimin, maka dia bukan di kalangan kami"

  Prihatin adalah suatu perkara yang baik. Namun, ramai orang tidak menyukainya. Kerana itu ada rakan-rakan kita akan marah dan memulaukan kita apabila kita menegur sikap buruk mereka. Biarpun teguran kita benar, mereka tetap memusuhi kita. Ini lumrah

  Apabila berhadapan dengan kawan sebegini, kita perlu bijak dan berhikmah. Kita perlu mempunyai strategi agar mereka tidak menjauhi kita. Dalam masa yang sama, kita boleh berdakwah kepada mereka. Ada lima perkara yang wajar kita lakukan.

1 . Kita perlu berasa kasihan kerana mereka sedang menambah kemurkaan Allah dan menuju kebinasaan. Tiada manusia yang mahu dihumban ke dalam neraka. Tetapi, akibat tipu daya syaitan, ramai remaja telah dilalaikan oleh hiburan dunia hingga mereka tidak tahu kefardhuan seorang muslim. Sebaik berhadapan dengan rakan sebegini, kasihanilah mereka. Bantulah mereka keluar dari kelalaian duniawi. Apabila hati kita dipenuhi rasa kasihan dan ingin membantu, maka kita akan mudah untuk melayan karenah rakan-rakan yang bermasalah.

2. Kedua, nasihati secara ringkas tetapi berterusan. Ingat! Teguran baik bukanlah dengan berceramah atau berkhutbah panjang. Cara terbaik adalah dengan berkawan dengan mereka, lalu menasihati mereka sedikit demi sedikit namun berterusan. Teguran pula secara santai atau jenaka, bukannya marah-marah. Dengan cara ini, rakan kita akan sudi mendengar dan memikirkan kata-kata kita. Mereka tidak akan menjauhi kita secara mendadak.

3. Jangan takut dengan tohmahan atau ugutan. Kita tidak boleh berhenti menegur sekalipun ada orang menuduh kita 'sibuk jaga tepi kain orang'  . Abaikan sahaja. Sudah menjadi lumrah apabila menyatakan kebenaran dan mencegah kemungkaran, kita berkemungkinan akan dipinggirkan. Inilah yang berlaku kepada para nabi terdahulu. Oleh yang demikian, kita jangan berasa risau sekiranya rakan membenci kita disebabkan kita berkata benar. Pasti Allah akan mendatangkan rakan-rakan yang lebih baik untuk kita.

4. Kita perlu berdoa untuk diri kita dan rakan-rakan kita agar Allah memberi hidaya kepada mereka. Doa sangat penting, kerana hidayah itu milik Allah, dan bukan milik kita. Tidak semua orang berubah sewaktu ditegur. Tetapi, kita berdoa mudah-mudahan suatu hari nanti mereka akan menjadi lebih baik. Ini semua adalah berkat doa orang di sekeliling mereka.

5. Tempuhi semua ujian dengan sabar dan senyuman. Biarpun ada orang yang tidak menyukai cara kita berdakwah, sabarlah. Kita harus percaya bahawa Allah sentiasa bersama dengan kita. Allah akan membantu kita setiap masa. Pahalanya tetap ada di sisi Allah.

-Tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi-

0 comments: